Jumat, 01 Juni 2012

Tentang Rukun/Wajib Haji

Soalan
Terangkan mengenai rukun dan wajib haji?

Jawaban


Rukun haji 6 perkara
a. Niat
b. Wuquf
c. Tawaf Haji
d. Saie
e. Bercukur
f. Tertib


Wajib Haji 7 Perkara:
a. Berniat ihram di Miqat
b. Bermalam di Muzdalifah
c. Melontar jamrah aqabah di Mina pada 10 Zulhijjah
d. Bermalam di Mina - sekurang-kurang 2 malam, malam 11, 12, 13 Zulhijjah.
e. Melontar 3 jamrah sekurang kurangnya dua hari pada 11, 12, 13 Zulhijjah.
f. Meninggalkan larangan ihram
g. Tawaf wada (selamat tinggal)


Soalan
Bagaimana cara mengerjakan haji dan umrah?

Jawaban

Ada 3 macam cara:
a. Cara tamattuk iaitu mendahulukan umrah sebelum haji dalam bulan-bulan haji.
b. Cara ifrad iaitu mendahulukan haji sebelum umrah di dalam bulan-bulan haji.
c. Cara qiran iaitu dibuat haji dan umrah sekali gus


Soalan
Apakah perbezaan cara-cara tersebut di atas:-

Jawaban

Haji Tamattuk
Apabila seseorang itu sampai di Miqat/Jeddah dia terus berniat mengerjakan umrah sahaja, lalu dia masuk ke Makkah membuat tawaf umrah, bersai dan bercukur. Dengan ini dia keluar dari ihram. Ia boleh melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram kecuali memburu binatang di tanah haram atau mencabut pokoknya kerana larangan ini tetap ada dalam tanah haram pada bila-bila masa. Apabila sampai 8/9 Zulhijjah barulah dia berihram untuk haji pula dari tempat tinggalnya di Makkah dan meneruskan amalan hajinya. Orang ini dikenakan dam.
Haji Ifrad
Apabila seseorang itu sampai ke Miqat/Jeddah ia terus berniat haji dan dia masuk ke Makkah membuat tawaf Qudum (selamat datang) hukumnya sunat dan dia boleh membuat sai haji jika ia mahu dan tetap dalam ihram hingga selesai amalan haji. Kemudian barulah dia boleh membuat umrah.

Haji Qiran

Apabila seseorang itu sampai ke Miqat/Jeddah ia berniat haji dan umrah sekali gus. Dia meneruskan amalan haji sahaja. Umrahnya termasuk sekali. Orang ini juga dikenakan dam.


Soalan
Manakah yang lebih afdal dikerjakan di antara haji tamattuk, ifrad dan qiran?

Jawaban

Yang lebih afdal haji ifrad. Tetapi di sana ada satu pendapat bahawa orang yang datang dari jauh dan lama pula duduk di Makkah haji tamattuk lebih afdal kerana lebih mudah, terutama orang yang tidak biasa dengan cuaca Makkah


Soalan
Seorang yang mengerjakan umrah dalam bulan-bulan haji kemudian ia keluar ke Madinah dan bermiqat haji di Bir Ali, adakah haji cara begini dikatakan haji ifrad atau tamattuk dan adakah wajib membayar dam?

Jawaban

Haji ini dinamakan haji tamattuk tetapi ia tidak di kenakan dam. Yang dikenakan dam itu kalau ia telah meninggalkan miqat haji tetapi sekarang ia telah keluar dan bermiqat dari miqat haji.


Soalan
Seorang yang telah berniat mngerjakan umrah tetapi kedatangan haidnya tidak membolehkan dia menyempurnakan umrah hingga ke hari Arafah. Bolehkah dia menukar niatnya ke haji ifrad dan adakah wajib dia membayar dam?

Jawaban

Selagi dia belum tawaf umrah dia boleh memasukkan niat haji ke dalam umrahya menjadi haji qiran dan dia dikenakan dam. Kalau sudah mula tawaf tidaklah boleh ia menukar niatnya.


Soalan
Apakah boleh mengerjakan haji ifrad atau qiran bagi jemaah yang datang dari daerah Asia Tenggara dengan tidak membawa kambing korban?

Jawaban

Tidak wajib membawa kambing (hadyun) bagi haji ifrad atau qiran menurut mazhab Syafii hanya sunat muakkadah sahaja. Itu pun bukanlah mesti daripada negerinya lebih-lebih lagi seperti kita yang jauh ini keadaan tidak membenarkan. Ia hanya dibawa daripada miqat

0 komentar:

Posting Komentar

 

SMBC-JOMBANG Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers