Jumat, 01 Juni 2012

Madinah Kota Nabi (HARAM)

Salah satu tanda kebesaran sesebuah kota adalah banyaknya nama dan sebutan bagi kota itu. Kota Madinah memiliki 94 nama dan sebutan Nama yang paling popular adalah sebutan "Al MADINAH AL MUNAWWARAH", iaitu kota yang disinari dan menyinari".


Di segi geografi, kota ini terletak di antara 39 - 40 darjah garis bujur di timur dan 24 - 25 garis lintang utara. Jaraknya dari laut merah lebih kurang 170 kilometer, dari Mekah 450 kilometer dan dari ibu negara Saudi Arabia (Riyadh) ialah lebih kurang 1,000 kilometer.


Nabi Muhammad s.a.w. menjadikan Kota ini sebagai tempat tinggal sejak tahun 622 masehi. Sejak itu pula diberi nama Al-Madinah Al-Munawwarah (kota yang disinari) yang mana sebelumnya bernama Yatsrib.


Kota ini adalah bahagian dari bumi yang dimulakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Ia jelas sebagaimana Sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam ketika berhijrah, maksudnya : " Ya Allah, Engkau keluarkan aku dari bahagian bumi yang paling aku cintai, berilah aku tempat menetap di bahagian bumi yang paling Engkau cintai".


Kota ini juga dinyatakan oleh Nabi sebagai tanah Haram (suci) sebagaimana Kota Mekah, dan di sebut-sebut di dalam Al-Quran hingga tiga kali. Bahkan Nabi selalu mendoakan ketenteraman dan keberkatan bagi kota ini. Dari kota inilah Islam berkembang memancar keseluruh pelusuk dunia. Di kota inilah juga jasad Nabi akhir zaman dimakamkan.
edit

Masjid Mabawi


Disebut Masjid Nabawi kerana Nabi Muhammad S.A.W. selalu menyebutnya dengan kalimah, " Masjidku ini", pada setiap kali baginda menerangkan tentang sebuah masjid yang sekarang berada di pusat kota Madinah. Nabi bersabda," Sembahyang di masjidku ini lebih utama daripada sembahyang seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram".


Dalam satu riwayat lain, Nabi bersabda," Barang siapa sembahyang di masjid 40 waktu tanpa terputus, maka ia pasti selamat dari neraka dan segala siksa dan selamat dari sifat munafik".


Masjid ini didirikan oleh Nabi S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda pada tahun pertama hijrah (622 M) seluas 1050 meter persegi, iaitu di sisi di sebelah barat rumah baginda yang sekarang rumah itu menjadi makam baginda dan masuk dalam bangunan masjid.


Berziarah ke masjid Nabawi ini adalah masyru' dan dikira termasuk ibadat. Penyataan ini adalah sesuai dengan sabda Nabi yang berbunyi; bermaksud," Janganlah kau mementingkan kepergian kecuali kepada tiga masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjidku ini dan Masjid Aqsa'.
edit

Sejarah Tentang Haji

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :


" Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk".
Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.


Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.


RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI


Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.
Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.


Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.


PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA'


Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :
  1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.
  2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa " Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".
  3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan " Apakah itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud " Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
  4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :
" Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"


Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.
edit

Tentang DAM

Soalan
Apakah arti Dam?

Jawaban
Asal makna dam ialah darah. Kemudian dipakai sebagai nama binatang ternakan yang disembelih kerana menebus kesalahan atau menutupi kekurangan dalam masa mengerjakan haji atau umrah. Kemudian digunakan perkataan ini untuk sebarang denda ganti penyembelihan.

Soalan
Mengapa orang yang melakukan haji tamattuk dikenakan dam?

Jawaban
Kerana ia telah tidak berihram dari miqat haji dalam musim haji. Kecuali penduduk Makkah dan sekitarnya tidak dikenakan dam.

Soalan
Berapa dam yang harus dibayar jika seorang itu mengerjakan haji tamattuk dengan berniat di Jeddah?

Jawaban
Satu dam sahaja - Menurut qaul yang mengatakan Jeddah itu sebagai miqat. Kalau menurut qaul yang mengatakan Jeddah tidak dikira miqat kena dua dam. Satu dam kerana berihram umrah setelah melalui miqat, satu dam lagi kerana meninggalkan miqat haji. Untuk lebih ihtiat (lebih berjaga-jaga) pendapat yang kedua lebih kuat.

Soalan
Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dijadikan dam?

Jawaban
Binatangnya mesti sudah sampai umur boleh dibuat korban dan tidak ada sebarang penyakit serta cukup sifatnya.

Soalan
Adakah berdosa jika seorang itu melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram walaupun setelah membayar dam?

Jawaban
Jika dilakukannya kerana terlupa, terpaksa atau kerana sesuatu keuzuran yang diterima oleh syarak ia tidak berdosa.

Soalan
Bolehkah seorang itu melewatkan pembayaran dam? Bagaimana pula jika bayaran dam seseorang itu dibayar di luar tanah haram?

Jawaban
Yang afdalnya dibayar pada waktunya. Ada masanya pula seseorang tidak boleh bertahallul melainkan setelah membayar dam. Semua dam mesti dibayar di tanah haram kecuali dam kerana terkepong atau terhalang dari meneruskan haji atau umrahnya - dikeluarkan ditempat mana ia terhalang.

Soalan
Bolehkah seorang itu memakan daging damnya sendiri?

Jawaban
Tidak boleh. Semuanya mesti disedekahkan. Kalau sudah diterima oleh orang yang berhak kemudian orang ini menjamunya adalah harus.

Soalan
Bolehkah seorang itu mewakili orang lain untuk membayar damnya?

Jawaban
Boleh

Soalan
Adakah sah dam seorang yang dibuat dengan tidak berijab kabul?

Jawaban
Perwakilan mesti ada ijabnya dengan lafaz. Kalau ia menyembelih sendiri cukup dengan niat. Wakil wajib berniat atas nama orang yang mewakilkan.

Soalan
Adakah sah dam yang dibayar melalui Bank Islam yang terdapat di Arab Saudi?

Jawaban
Ya. Sah dengan syarat pihak bank itu bertindak sebagai wakil untuk menyembelih dam itu.

Soalan
Adakah dikenakan dam jika seorang yang uzur itu tidak dapat melakukan tawaf wada’?
Jawapan
Tidak dikenakan dam kerana uzur

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seorang yang ternampak rambut di lantai biliknya sedangkan ia tidak pasti rambut siapakah itu?

Jawaban
Tidak wajib dam.

Soalan
Seorang yang terlupa yang dia dalam ihram telah mencabut rambutnya, adakah dikenakan dam keatasnya?

Jawaban
Ya. Dikenakan dam.
edit

Tentang Ziarah Ke Madinah

Soalan
Apakah hukumnya seorang jemaah haji yang tidak berziarah ke Madinah?

Jawaban

Makruh dan rugi kerana tidak menziarah tanah haram yang kedua itu - kecuali jika ada halangan atau keuzuran yang tidak dapat dielakkan.


Soalan
Bagaimana pula mereka yang mengerjakan umrah di luar musim haji tidak berziarah ke Madinah?

Jawaban

Sama sahaja hukumnya seperti yang telah disebutkan.

edit

Kemampuan Menunaikan Ibadah Haji

Soalan
Apakah istilah berkemampuan dalam ibadah haji?

Jawaban


Kemampuan ialah:
a. Ada perbelanjaan bagi diri sendiri, tanggungan yang dibawa dan orang yang tinggal yang wajib ditanggung nafkahnya.
b. Sihat badan
c. Aman perjalanan dan ada kenderaan.
d. Tidak suntuk masa untuk pergi setelah ada kemampuan pada tahun itu.


Soalan
Adakah hukumnya salah, apabila seseorang mengerjakan haji dari perbelanjaan yang dikeluarkan oleh orang lain?

Jawaban

Tidak salah. Tetapi tidak wajib ia menerimanya kerana takut menanggung budi.


Soalan
Bolehkah seseorang berhutang untuk menunaikan fardhu haji?

Jawaban

Tidak wajib haji selagi belum ada kemampuan. Dengan ini tidak perlu berhutang. Kalau dia berhutang juga sedang dia tidak ada cagaran untuk membayarnya maka ia berdosa kerana menyusahkan dirinya dengan perkara yang belum diwajibkan.


Soalan
Adakah dibolehkan seorang mengerjakan haji sedangkan dia belum melunaskan semua hutangnya yang dibayar setiap bulan dari potongan gajinya?

Jawaban

Ya, dia boleh mengerjakan haji kerana ia ada mempunyai cagaran untuk membayar hutangnya. Malah jika dia ada wang simpanan yang memang tidak digunakannya untuk membayar hutang, wajiblah ia mengerjakan haji apabila sampai masanya sebagaimana ia wajib menzakatkan wang itu melainkan kalau digunakannya wang itu semua untuk membayar hutangnya itu.


Soalan
Sahkan haji seseorang yang menggunakan wang si-noman di mana dia adalah penerima yang pertama?

Jawaban

Sah hajinya
edit

Tentang Rukun/Wajib Haji

Soalan
Terangkan mengenai rukun dan wajib haji?

Jawaban


Rukun haji 6 perkara
a. Niat
b. Wuquf
c. Tawaf Haji
d. Saie
e. Bercukur
f. Tertib


Wajib Haji 7 Perkara:
a. Berniat ihram di Miqat
b. Bermalam di Muzdalifah
c. Melontar jamrah aqabah di Mina pada 10 Zulhijjah
d. Bermalam di Mina - sekurang-kurang 2 malam, malam 11, 12, 13 Zulhijjah.
e. Melontar 3 jamrah sekurang kurangnya dua hari pada 11, 12, 13 Zulhijjah.
f. Meninggalkan larangan ihram
g. Tawaf wada (selamat tinggal)


Soalan
Bagaimana cara mengerjakan haji dan umrah?

Jawaban

Ada 3 macam cara:
a. Cara tamattuk iaitu mendahulukan umrah sebelum haji dalam bulan-bulan haji.
b. Cara ifrad iaitu mendahulukan haji sebelum umrah di dalam bulan-bulan haji.
c. Cara qiran iaitu dibuat haji dan umrah sekali gus


Soalan
Apakah perbezaan cara-cara tersebut di atas:-

Jawaban

Haji Tamattuk
Apabila seseorang itu sampai di Miqat/Jeddah dia terus berniat mengerjakan umrah sahaja, lalu dia masuk ke Makkah membuat tawaf umrah, bersai dan bercukur. Dengan ini dia keluar dari ihram. Ia boleh melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram kecuali memburu binatang di tanah haram atau mencabut pokoknya kerana larangan ini tetap ada dalam tanah haram pada bila-bila masa. Apabila sampai 8/9 Zulhijjah barulah dia berihram untuk haji pula dari tempat tinggalnya di Makkah dan meneruskan amalan hajinya. Orang ini dikenakan dam.
Haji Ifrad
Apabila seseorang itu sampai ke Miqat/Jeddah ia terus berniat haji dan dia masuk ke Makkah membuat tawaf Qudum (selamat datang) hukumnya sunat dan dia boleh membuat sai haji jika ia mahu dan tetap dalam ihram hingga selesai amalan haji. Kemudian barulah dia boleh membuat umrah.

Haji Qiran

Apabila seseorang itu sampai ke Miqat/Jeddah ia berniat haji dan umrah sekali gus. Dia meneruskan amalan haji sahaja. Umrahnya termasuk sekali. Orang ini juga dikenakan dam.


Soalan
Manakah yang lebih afdal dikerjakan di antara haji tamattuk, ifrad dan qiran?

Jawaban

Yang lebih afdal haji ifrad. Tetapi di sana ada satu pendapat bahawa orang yang datang dari jauh dan lama pula duduk di Makkah haji tamattuk lebih afdal kerana lebih mudah, terutama orang yang tidak biasa dengan cuaca Makkah


Soalan
Seorang yang mengerjakan umrah dalam bulan-bulan haji kemudian ia keluar ke Madinah dan bermiqat haji di Bir Ali, adakah haji cara begini dikatakan haji ifrad atau tamattuk dan adakah wajib membayar dam?

Jawaban

Haji ini dinamakan haji tamattuk tetapi ia tidak di kenakan dam. Yang dikenakan dam itu kalau ia telah meninggalkan miqat haji tetapi sekarang ia telah keluar dan bermiqat dari miqat haji.


Soalan
Seorang yang telah berniat mngerjakan umrah tetapi kedatangan haidnya tidak membolehkan dia menyempurnakan umrah hingga ke hari Arafah. Bolehkah dia menukar niatnya ke haji ifrad dan adakah wajib dia membayar dam?

Jawaban

Selagi dia belum tawaf umrah dia boleh memasukkan niat haji ke dalam umrahya menjadi haji qiran dan dia dikenakan dam. Kalau sudah mula tawaf tidaklah boleh ia menukar niatnya.


Soalan
Apakah boleh mengerjakan haji ifrad atau qiran bagi jemaah yang datang dari daerah Asia Tenggara dengan tidak membawa kambing korban?

Jawaban

Tidak wajib membawa kambing (hadyun) bagi haji ifrad atau qiran menurut mazhab Syafii hanya sunat muakkadah sahaja. Itu pun bukanlah mesti daripada negerinya lebih-lebih lagi seperti kita yang jauh ini keadaan tidak membenarkan. Ia hanya dibawa daripada miqat
edit
 

SMBC-JOMBANG Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers